Mangsa banjir di beberapa daerah di Perak meningkat kepada 413 orang daripada 121 keluarga petang ini berbanding 410 orang daripada 120 keluarga pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis berkata mangsa terbaharu membabitkan kawasan Bagan Serai iaitu Lebai Kadir, Mat Keling, Air Hitam Dua dan Simpang Lima dengan 18 orang daripada 8 keluarga berbanding 15 orang daripada 7 keluarga pagi tadi.
Beliau berkata mangsa banjir di Kampung Ali Kalang kekal 16 orang daripada 5 keluarga dan mereka dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.
"Sementara itu, sejumlah 120 orang daripada 37 keluarga di Batu 38 dan 40, Kampung Beriah dan Parit Abu Hassan di Bagan Serai masih berada di pusat pemindahan sama," katanya.
Beliau berkata mangsa banjir di Kampung Changkat Lobak, Kampung Permatang Tengah dan Parit Air Hitam juga kekal kepada 139 orang daripada 33 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.
Yahya berkata mangsa banjir di daerah Hilir Perak kekal 56 orang daripada 16 keluarga membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Teluk Intan, Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Kampung Lorong dan mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.
"Di Pantai Remis, mangsa tanah runtuh masih kekal kepada 64 orang daripada 22 keluarga dan mereka masih berada di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai," katanya.
Beliau berkata paras air di kawasan yang terbabit dengan banjir kini berada pada paras 0.1 meter hingga 3.05 meter.
Yahya berkata agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
sumber
No comments: