Usul membebaskan anak muda daripada cengkaman dan beban kos sara hidup melanda negara adalah antara 5 usul diluluskan pada Kongres Nasional Pemuda PKR ke-11, hari ini.
Usul itu dicadangkan perwakilan Kelantan, Mohd Khairul Amin dan dibahaskan Mohd Hairul Amin dari Perak.
Khairul berkata, kerajaan memeras rakyat, RM19 sehari melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pemotongan subsidi pelbagai barangan keperluan rakyat.
"Pada masa sama kos barang meningkat naik. Harga petrol tidak menentu, kadar tol naik dan dilaporkan akan naik lagi tahun depan.
Semua ketidaktentuan ekonomi ini beri kesan terus kepada rakyat," katanya ketika membawakan usul itu.
Katanya, menyedari perkara itu, Pemuda PKR berpendapat kerajaan perlu mengambil tindakan bersifat "down to earth" untuk memastikan rakyat diselamatkan daripada terus terhimpit dengan kos hidup membebankan.
Sementara itu, 4 lagi usul diluluskan tanpa sebarang bantahan.
Usul membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diluluskan tanpa dibahaskan.
"Pelbagai usaha direkayasa Umno-Barisan Nasional (BN) untuk memusnahkan politik Anwar. Hakikatnya rakyat celik mengenai fitnah ini," kata Perwakilan Pemuda PKR Pahang Mohd Mustaqim.
Selain itu, Pemuda PKR meluluskan usul menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan yang dicadangkan Sallehudin Kiddin, perwakilan Hulu Langat.
Dua lagi usul diluluskan ialah memperkukuh pakatan pembangkang serta bersolidariti dengan perjuangan rakyat Sabah dan Sarawak.
sumber
No comments: