» » Charles Morais tinggalkan M'sia selepas gagal dapat bedah siasat kedua kerana bimbangkan keselamatannya


Charles Morais meninggalkan Malaysia pada Rabu, tidak lama selepas pengisytiharan akuan bersumpah (SD) yang mengejutkan kerana gagal mendapatkan kebenaran bedah siasat kedua terhadap abangnya, Kevin yang dibunuh.

"Tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukannya di sini," kata peguam Americk Sidhu kepada The Malaysian Insider.

"Tambahan pula, saya tidak mahu apa yang berlaku kepada PI Bala menimpa Charles."

Walaupun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut, Americk merujuk kepada P Balasubramaniam, penyiasat persendirian dan saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2015, beberapa minggu selepas kembali daripada buangan secara paksa di India selama 5 tahun.

Balasubramaniam juga membuat 2 SD sebelum berlepas ke India.

Charles, 52, berlepas ke Atlanta, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu selepas mengadakan sidang akhbar di pejabat Americk di Kuala Lumpur, di mana beliau mendakwa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan persiapan kertas pertuduhan pihak timbalan pendakwa raya terhadap "pegawai kerajaan berpangkat tinggi".

"Beliau berada di Malaysia sejak 23 September dan tujuannya hanya untuk mendapatkan kebenaran bedah siasat kedua terhadap mayat Kevin.

"Selepas itu rancangan terhenti oleh seorang lagi saudara (Datuk Richard), tiada sebab bagi Charles terus berada di Malaysia," kata Americk kepada The Malaysian Insider.

Americk berkata, polis Malaysia perlu berhubung dengan Charles di AS jika mereka mahu menemu bual beliau berhubung kandungan SD itu.

Katanya, beliau dihubungi seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman semalam, memintanya membantu dalam penyiasatan susulan SD yang dibuat Charles.

"Saya bersedia memberi kerjasama kepada polis," katanya sambil menambah masa yang sesuai akan dipilih untuk menjalankan temu bual.

Charles pada sidang media memberitahu, Kevin menceritakan kepadanya beliau sedang menyiapkan kertas pertuduhan, ketika berada di Jabatan Peguam Negara.

Beliau juga mendakwa adiknya, Richard bersekongkol dengan "seseorang" dan ia punca mengapa beliau (Richard) menuntut jasad Kevin dari rumah mayat.

Charles juga membidas Jabatan Peguam Negara kerana didakwa mempermainkannya apabila bersetuju pada awal dengan bedah siasat kedua tetapi kemudian memintanya mendapatkan perintah mahkamah.

Beliau juga mendedahkan memiliki pemacu pena Kevin yang dihantar kepadanya melalui kurier sebelum mati.

"Kandungan pemacu pena dengan jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan siasatan Kevin dilakukan sebelum kematiannya yang membabitkan personaliti tertentu yang kini berkuasa dalam kerajaan di Malaysia," kata Charles.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak kandungan SD manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Charles perlu berkongsi dengan polis kandungan dalam pemacu pena itu.

Enam lelaki didakwa pembunuhan Kevin, manakala ahli patologi Dr R. Kunasegaran didakwa bersubahat.

Mayat Kevin ditemui dalam dram keluli bersimen dalam paya di Taman Subang Mewah, USJ 1, Subang Jaya, 12 hari selepas penculikan beliau pada 4 September.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .