Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Putrajaya agar segera menangani kejatuhan nilai ringgit.
Bertitah sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rejimen Gerak Khas, baginda menegaskan gesaan itu dibuatnya selaku raja yang bertanggungjawab memastikan kemakmuran rakyat jelata.
"Sememangnya kedudukan saya sebagai raja tidak boleh mencampuri urusan politik, tetapi sebagai raja saya bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat di negeri saya berada dalam keadaan yang baik, maju dan makmur.
"Oleh itu saya mengesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk," titahnya melalui ucapan yang dimuat naik melalui akaun Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Dalam titah sama, baginda turut menggesa pemimpin politik agar melaksanakan tugas dengan jujur demi manfaat rakyat kerana orang ramai sentiasa menilai prestasi mereka.
"Suka juga saya ingatkan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan yang dipilih rakyat supaya memikul tanggungjawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan janganlah mengutamakan kepentingan peribadi.
"Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar. Selesaikanlah masalah-masalah yang timbul dengan segera," titah baginda.
Ringgit kini mempunyai nilai tukaran 4.2 berbanding AS$1.
Sewaktu ia mencecah RM4 berbanding AS$1, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan maklum akan kejatuhan nilai matawang itu dan akan berbuat sesuatu bagi membaiki keadaan.
Pengumuman itu bagaimanapun gagal mempengaruhi sentimen pasaran sebaliknya nilai ringgit terus menjunam.
sumber
No comments: