Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan sama ada sumbangan RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menyebabkan kerajaan terhutang budi kepada penderma dan membolehkan kerajaan dipengaruhi pihak luar, lapor Sinar Harian hari ini.
Memetik kenyataan bekas ketua wanita Umno itu semalam, akhbar itu melaporkan beliau turut mempersoalkan sama ada wujud pakatan tertentu di sebalik derma politik tersebut.
Ini kerana, Rafidah berkata, wang ringgit dilihat seolah-olah begitu penting sehingga memerlukan penderma asing untuk menggerakkan parti.
"Persoalan saya ialah, apa agaknya pakatan tertentu di sebalik sumbangan tersebut? Apa agaknya yang dijanjikan kepada mereka (penderma)?
"Pendekatan apa agaknya yang dijangka dan diharapkan penderma yang sanggup menderma wang sebegitu besar jumlahnya?
"Umno parti tunjang kerajaan Barisan Nasional. Mempengaruhi Umno akan bererti mempengaruhi kerajaan," beliau dipetik berkata.
Pada masa sama, Rafidah mendakwa politik wang dalam Umno menjadi kebiasaan dan sekali gus menjadi satu masalah yang begitu serius.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata setiap ahli Umno sewajarnya menganggap isu sumbangan itu sebagai masalah mereka sendiri.
"Ia pada asasnya memaparkan bagaimana politik wang dalam Umno mencapai satu tanda aras tinggi yang baru. Bagaimana wang ringgit menjadi penggerak tunggal untuk kerja berjalan di peringkat akar umbi.
"Ia merupakan corak dan ciri budaya politik Umno pada masa sekarang dan menuju ke depan," katanya.
Rafidah berkata, politik wang bukan saja menghancurkan keperibadian parti tetapi juga akan merosakkan semangat berjuang, berusaha dan berkhidmat di kalangan pemimpin.
Beliau dilaporkan berkata, pemimpin Umno di semua peringkat mesti menerima dan mengambil sedikit sebanyak tempias isu wang dalam akaun presiden parti.
"Pasti sebahagian wang tersebut turun ke akar umbi dan tentu ramai yang sama-sama 'merasa'.
"Atau tidakkah kita patut menolak gejala politik wang supaya siapa juga yang dipilih sebagai pemimpin adalah yang benar-benar berkemampuan untuk berkhidmat," katanya menimbulkan persoalan.
sumber
No comments: