» » Ramai warga korporat Malaysia tidak sokong dan pencilkan Najib Razak


Golongan korporat, terutamanya di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dipertikai kerana tidak menunjukkan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika kepimpinan beliau diserang, kata Tan Sri Adam A Kadir.

Mantan presiden Senat itu menulis di akhbar Sinar Harian hari ini, masalah yang dihadapi Najib ialah kurangnya sokongan daripada sektor korporat, yang sebelum ini mendapat gaji lebih tinggi daripada perdana menteri.

Katanya menerusi ruangan "antara dua telinga" tulisan beliau, dalam kesusahan yang dihadapi Najib kini, tidak ada suara korporat yang didengar menyokong perdana menteri.

"Dalam retorika mereka ketika PM menghadapi masalah besar seperti yang berlaku kini, orang politiklah yang memikul tanggungjawab.

"Ada yang menunjuk sokongan secara berkumpulan, ada yang menyorong kepala, ada yang terpaksa mengecam penentang PM, ada pula yang terpaksa menubuhkan grup melancarkan serangan untuk menghakiskan ‘integriti’ pihak yang diserang.

"Namun, di manakah orang korporat yang mendapat upahan maha tinggi daripada tangan PM itu?" katanya.

Sebaliknya ahli politik yang membantu Najib berada di jawatannya hanya berputih mata dan menyaksikan kemewahan orang korporat yang berpendapatan tinggi jika dibandingkan dengan gaji dan pencen mereka yang rendah, katanya.

Bekas Pengerusi Pos Malaysia itu berkata, tidak hairan ramai ahli politik terkilan dan tawar hati apabila mereka dipinggirkan dalam sektor korporat walaupun mempunyai kelayakan profesional.

Sedangkan kata Adam, ahli korporat hanya bersikap ‘PM pergi dan PM datang’ adalah lumrah.

"Selepas diperkatakan itu semua, ramai ahli Parlimen, Adun dan bekas penjawat politik utama yang berkelayakan profesional dalam 'accounting', undang-undang, ekonomi dan lain-lain, terasa dipinggirkan saja daripada mendapat tempat dalam sektor korporat, iaitu sektor lumayan yang disediakan sendiri oleh keputusan politik," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu juga, Najib kurang mendapat sokongan ahli politik yang tidak mendapat tempat di sektor korporat.

"Gaji PM tidak menjadi masalah. Masalah PM ialah kurang sokongan bulat daripada ahli politik, antara sebabnya ialah gara-gara korporat yang memencilkan mereka," katanya.

Mengulas gaji perdana menteri, Adam menyifatkan gaji pemimpin negara sebanyak RM285,000 setahun, seperti menurut laporan, terlalu kecil jika dibandingkan dengan gaji eksekutif dalam GLC atau firma yang berkaitan kerajaan.

"Dibandingkan pula dengan gaji eksekutif dalam GLC atau firma yang ada kaitan kerajaan, gaji beliau hanya sama dengan gaji mereka di peringkat pertengahan.

"CEO pula menerima jutaan ringgit. Ini belum diambil kira bonus dan ganjaran lain yang berjumlah jutaan ringgit juga," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .