» » Melayu Malaysia baik hati kerana hanya tuntut 30% ekuiti dalam ekonomi


Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyifatkan kemurahan hati orang Melayu sekadar menuntut 30% ekuiti dalam ekonomi menjadikan orang Cina bertambah kaya walaupun kaum itu sudah memiliki pegangan ekonomi yang kukuh. 

Ahli Pemegang Amanah MTEM Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, sambil orang Melayu mempunyai pegangan dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana (SME), pegangan ekonomi orang Cina pula berlipat kali ganda.

“Dari aspek bilangan, orang Melayu menguasai segala aspek perniagaan, kita memiliki bilangan SME yang besar, pekerja ramai, penyumbang terbesar cukai pendapatan negara.

“Namun entah mengapa, kita masih belum berupaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain di Malaysia, khususnya kaum Cina yang memiliki pegangan ekonomi yang jauh lebih kukuh.

“Nilai kekayaan mereka berkali ganda dengan nilai kekayaan orang Melayu.

"Kita sebenarnya terlalu bermurah hati apabila hanya menuntut 30% sahaja pegangan ekuiti dalam perniagaan sedangkan dari sudut logiknya, orang Melayu dan Bumiputera perlu menguasai kekayaan lebih besar sesuai dengan peratusan penduduknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2015 di Kuala Lumpur hari ini.

Rizal berkata, laporan yang dikemukakan MTEM hari ini menunjukkan status ekonomi orang Melayu masih berada di tahap tercorot.

Katanya, komuniti Melayu masih lagi kekal berada dalam kumpulan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

"Kita memiliki kuasa signifikan dalam sektor kerajaan, pertahanan, pertanian, pendidikan dan lain-lain.

“Kita sebenarnya memiliki kekuatan politik apabila undi orang Melayu sering kali menjadi taruhan apabila mahu meraih undi menjelang pilihan raya.

"Namun hari ini kekuatan politik semata-mata tidak akan menjamin survival orang Melayu," katanya.

Beliau berkata, kekuatan politik orang Melayu perlu disokong kekuatan intelektual dan kekayaan ekonomi, sambil menambah, nilai yang lebih penting ialah semangat jati diri seorang Melayu yang beragama Islam.

Sementara itu, Ketua Penyelidik MTEM Azman Awang mendedahkan, syarikat di Malaysia secara puratanya sekadar membayar 30% gaji dari perolehan mereka.

Katanya, keuntungan purata yang diperoleh pula sekitar 70% berbanding Amerika Syarikat yang hanya minimum 8%.

“Keuntungan (yang diperolehi syarikat) 70%, gaji 30%, adakah ini adil? Kenapa kena 70%? Kalau Amerika, keuntungan 40% ke 50% sahaja, gaji yang banyak.

"Syarikat di negara kita kalau diaggregatkan, 25% keuntungan bersih selepas cukai secara purata. Ini kita dapat dari kajian LHDN.

“Kalaulah mereka bayar gaji lebih dan pendapatan isi rumah lebih, ia akan hidupkan ekonomi balik, orang akan berbelanja," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .