» » Demo 1 Mei 2015 medan bagi rakyat M'sia tunjukkan kuasa mereka


Pada 1 Mei ini akan diadakan demonstrasi besar-besaran bagi merayakan Hari Buruh. Hari Buruh merupakan sambutan yang saban tahun diadakan oleh rakyat kelas buruh dan lain-lain di serata dunia.

Hari Buruh sering dijadikan platform bagi menyatakan tuntutan terhadap pihak kerajaan pemerintah.

Di Malaysia, keadaan semakin menekan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Namun, itu merupakan isu kecil. Kos sara hidup, undang-undang zalim, ekonomi yang tidak stabil, kelemahan sistem penguatkuasaan, krisis kepimpinan merupakan antara isu akan dibawa seluruh rakyat.

Pada hemat saya, isu utama dalam demonstrasi kali ini adalah rakyat harus bersolidariti melawan politikus (semua parti) yang selama ini hanya memikirkan periuk nasi dan kepentingan sendiri.

Politikus yang saya maksudkan bukan saja daripada pihak pemerintah, tetapi pembangkang yang semakin hari, semakin menunjukkan taringnya.

Hasil perbualan saya dengan beberapa pemimpin politik, pemimpin pelajar dan belia, dan pemimpin masyarakat, ramai yang sebelum ini percaya Pakatan Rakyat mampu menjadi ejen perubahan sudah berubah pandangan.

Mereka menganggap prestasi pembangkang yang lesu punca keadaan negara makin teruk. Kata mereka, hendak percaya Umno/BN, jauh panggang daripada api.

Maka, ramai berharap Hari Buruh kali ini dapat membawa suara rakyat yang sebenar secara langsung tanpa ada sebarang sekatan dan tapisan daripada mana-mana parti politik. Kekecewaan masyarakat terhadap kedua-dua fraksi politik ini bukan rahsia lagi.

Oleh itu, saya menyokong jika demonstrasi ini dijadikan ruang bagi membuktikan protes dan himpunan sebegini bukan milik mutlak mana-mana parti politik atau figura. Isu rakyat yang sebenar harus dibawa ke jalanan, bukan lagi tentang batang tubuh atau kepentingan mana-mana sosok.

Protes kali ini bakal membuka wacana baru iaitu rakyat sendiri harus memimpin demonstrasi. Rakyat cuma ada kata dua, sama ada hadir atau tidak, terletak pada tangan rakyat sendiri dan ia akan berakhir sama ada dengan darah atau air mata.

Isu terpenting kali ini adalah isu rakyat ; GST, undang-undang, ekonomi, rasisme. Bukan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi, atau bukan soal parti mana yang mahu menang pilihan raya.

Kesimpulannya, saya berharap supaya masyarakat sedar, tidak kira anak muda, mahasiswa mahupun rakyat biasa turun ke lapangan bagi menunjukkan solidariti. Kita sudah tiada masa lagi. Ayuh solidariti!

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .