» » Tampilkanlah contoh yang baik!


Daku melihat sistem pendidikan yang berkualiti, dan aku terjumpa Shanghai di tangga teratas pada penarafan antarabangsa.

Daku mencari negara yang kurang rasuah, lalu ku terjumpa negara di blok Eropah.

Daku mahu tahu negara yang hampir kepada agenda berkebajikan, sekali lagi, aku temuinya di blok Eropah.

Daku ingin tahu negara mana yang bersih persekitarannya, lalu aku terjumpa negara itu hanya di sebelah negara aku.

Lalu ku tanya diriku, mengapa tidak hal itu semua ada di negara yang mengaku mengikut ajaran Muhammad s.a.w? Mereka tidak mengucap syahadah, namun mereka praktik apa yang Baginda anjurkan – Kebajikan, kebersihan, pendidikan berkualiti, perangi ketirisan dan rasuah.

Monolog di atas merupakan ungkapan-ungkapan yang saya nukil di Facebook saya. Sebagai orang yang merantau dan menuntut ilmu di luar Malaysia, saya amat terpanggil untuk berkongsikan situasi ironi yang melanda negara-negara yang mengaku mengikut ajaran Baginda Muhammad saw namun tidak mempraktik ajaran Baginda.

Bukanlah suatu yang rahsia, negara-negara seperti Singapura, Jepun, Korea Selatan, Finland, Switzerland, dan United Kingdom mempunyai sistem ekonomi yang mantap dan pendidikan yang bermutu. Kurangnya kadar jenayah, mantapnya pengawasan ketirisan dan rasuah, dan tingginya kedudukan yang mereka miliki dalam penarafan pendidikan antarabangsa membuktikan mereka lebih mempraktik apa yang Baginda anjurkan, meskipun mereka bukan merupakan negara-negara Islam.

Hal ini terjadi disebabkan kuatnya retorik-retorik kosong yang tidak mengandungi apa-apa tindakan konkrit (Concrete Action) negara-negara Islam. Kalimah syahadah memperakui Muhammmad itu pesuruh Allah hanya terungkap pada bibir sahaja dan bukan pada realiti hidup.

Tidak pelik dunia-dunia Islam terus buntu menemui penyelesaian-penyelesaian yang praktikal kerana rata-rata mereka sekadar menjadi pengikut kepada dunia Eropah dan Asia Timur. Kekurangan dan ketiadaan Good Example (contoh yang baik) negara-negara Islam menyebabkan gerakan-gerakan di negara Islam terus dihambat dengan slogan-slogan yang tidak mempunyai makna yang konkrit, umpamanya “Islam adalah Penyelesaian”.

Jika mahu menjadikan Islam sebagai penyelesaian, maka tampilkanlah terlebih dahulu Good Example dalam perihal urustadbir ekonomi, kurangnya rasuah dan ketirisan, tingginya kualiti modal insan untuk membangunkan minda ummah, serta bersihnya negara dan negeri sebagai lambang kekuatan iman yang suci dalam diri.

Good Example hanya akan wujud dengan adanya Concrete Action. Cita-cita yang idealis untuk membina empayar Islam tidak akan kesampaian jika isu-isu fundamental dalam ekonomi, pendidikan dan politik tidak ditangani secara konkrit. Isu-isu ini semua melibatkan keadilan untuk semua bangsa, kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara, serta kekuatan disiplin para pelaksana polisi dan agenda pendidikan dalam merealisasikan pendidikan yang bermutu tinggi.

Seharusnya para pengikut ajaran Baginda harus kembali merenung tujuan Baginda diutus ke dunia – menyempurnakan akhlak manusia. Kesempurnaan akhlak inilah yang membuah Concrete Action seterusnya menampilkan Good Example kepada semua insan tanpa mengira bangsa dan agama. Ayuh pengikut ajaran Muhammad. Tampilkanlah contoh yang baik!



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .