» » Najib Razak saman Tony Pua berkaitan 1MDB


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Bernama.

Tuntutan itu dipercayai susulan ucapan Pua dalam satu majlis kutipan dana November lalu, di mana ketua publisiti kebangsaan DAP itu didakwa berkata Najib merompak rakyat.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Hafarizam Wan Aisha dan Mubarak.

Peguam yang mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu media pihaknya akan menyerahkan writ saman itu kepada peguam kedua-dua defendan hari ini.

Bernama melaporkan, dalam pernyataan tuntutan yang diterima media hari ini, Najib, 61, mendakwa pada 13 November tahun lepas, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu dimuat naik defendan kedua sendiri dan/atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat di bawah tajuk "Tony Pua: Najib is Creating the Biggest Scandal Ever in the History of Malaysia".

Perdana menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya dikongsi oleh defendan pertama dan/atau ejennya di laman Facebooknya dan juga defendan kedua dan/atau ejennya di laman Facebook Mediarakyat.

Sehingga 2 Mac sebanyak 194,979 rakaman itu ditonton di laman YouTube Mediarakyat manakala 200,709 pengguna Facebook mengikuti rakaman itu di laman Facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna Facebook Mediarakyat mengikuti rakaman itu.

Najib berkata berdasarkan fakta itu, sejumlah besar pengguna Internet menonton rakaman itu dan mendengar perkataan fitnah dinyatakan Pua, lapor Bernama.

Katanya, rakaman ucapan itu mengandungi perkataan merujuk dan berkaitan dengannya yang memfitnahnya dan individu dikenali sebagai "Prime Minister" dalam perkataan fitnah itu semestinya merujuk secara spesifik kepadanya (Najib).

Beliau mendakwa perkataan fitnah itu dalam erti kata biasa atau lazim antaranya membawa maksud plaintif merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu plaintif adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam.

Bernama melaporkan, Najib yang juga presiden Umno mendakwa defendan pertama dan kedua tidak menghubunginya bagi mengesahkan kebenaran perkataan fitnah itu sebelum menerbitkannya.

Najib melalui peguamnya menghantar notis tuntutan kepada kedua-dua defendan pada 21 November tahun lepas tetapi mereka masih meneruskan penerbitan perkataan fitnah yang sama kepadanya.

Sehubungan itu, Najib menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejennya daripada menerbitkan lagi perkataan fitnah itu terhadapnya.

Sementara itu, dalam reaksi segeranya, Pua memberitahu The Malaysian Insider, beliau sudah menjawab surat tuntutan yang dihantar perdana menteri pada November itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai saman itu sehingga beliau dan peguamnya Gobind Singh menerima notis itu.

Di dalam surat tuntutan yang ditandatangani Hafarizam itu, Pua dilaporkan diminta menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf dalam tempoh 14 hari di dua akhbar nasional.

Pua juga diminta mengeluarkan video itu daripada Internet, berhenti membuat kenyataan fitnah dan membayar ganti rugi kepada Najib atas kenyataan itu.

Menurut transkrip di dalam surat itu, Pua berkata dalam ucapannya: "Biar saya beritahu, inilah masalahnya dengan Barisan Nasional. Tak sesiapa berani menentang perdana menteri, dan sekarang Najib macam raja. Raja yang mencipta skandal terbesar dalam sejarah negara. Besar! Tak seorang pun berani cakap apa-apa, takda apa, takda sekelumit pun suara dari mana-mana pemimpin MCA, Gerakan atau Umno sekalipun...

"Ini memalukan, ini menimbulkan skandal bagi sebuah entiti dimiliki 100% Kementerian Kewangan dengan lembaga penasihatnya yang dipengerusikan perdana menteri sendiri tidak mampu mengemukakan akaun pada masanya, terutamanya apabila syarikat itu sangat besar, rakyat melihatnya dengan penuh minat, RM36 bilion hutang, mereka tak mampu kemukakan akaun pada masanya...

"Saya rasa cuma ada satu sebab kenapa ini boleh terjadi. Ia boleh terjadi kerana semua kaki-kaki MCA, MIC, Gerakan tak berani nak cabar perdana menteri mereka, semua kata okay okay terimakasih terimakasih.. teruskanlah, rompaklah wang rakyat."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .