Putrajaya bercadang untuk mengetatkan kawalan undang-undang komunikasi bagi menghalang salah guna Internet dan sosial media, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kementeriannya akan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, terutamanya peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan tadbir urus.
"Pindaan lain dijangka dibentangkan Oktober ini atau awal tahun depan," katanya menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (Baridan Nasional-Kinabatangan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan salah guna Internet meningkat antara 15% hingga 20% tahun lalu.
Sehingga Julai 2014, terdapat 1,457 kes melibatkan penyalahgunaan sosial media berbanding 2,137 kes daripada Januari hingga Disember 2013.
"Kita percaya ada beberapa perkara yang perlu diteliti kembali khususnya undang-undang sedia ada mencukupi ataupun tidak.
"Menghina raja-raja RM200,000 denda apakah dianggap sama dengan apa yang dibuat di negara jiran seperti Thailand apabila ada rakyatnya menghina raja mereka.
"Sebab itu kami sekarang ini dalam peringkat untuk melihat secara menyeluruh tentang akta yang ada kerana sedia ada adalah pada 1998,” katanya.
Bung Mokhtar bertanya apakah langkah yang diambil kementerian berkenaan bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada termasuk hukuman lebih berat seperti di Thailand apabila rakyatnya hina raja mereka.
"Rasanya memang sudah sampai waktunya untuk melihat, mengkaji dan meminda akta dan melihat dalam semua segi.
"Termasuk soal berkaitan tadbir urus SKMM itu sendiri, ini adalah perkara yang sedang dilakukan…kita sedang berbincang dengan pihak yang berkaitan," kata Shabery.
Shabery yang juga ahli Parlimen Kemaman itu bagaimanapun berkata, mengikut situasi semasa, undang-undang berkaitan media sosial dunia sekalipun masih belum mampu dianggap mampu menyelesaikan masalah membabitkan laman-laman media berkenaan.
"Namun harus ingat undang-undang berkaitan soal media sosial di peringkat dunia sekalipun dianggap masih belum 'settle', belum lagi ada undang-undang yang boleh dicontohi di dunia ini," katanya.
sumber
No comments: