Kenapa respons daripada Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho amat ketara ada persamaan ketika memberi kenyataan berhubung Low tidak pernah bekerja dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini sarat menanggung hutang, soal DAP hari ini.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kenyataan kedua-duanya serupa berhubung cara mereka gagal menjawab secara khusus soalan mengenai peranan Low atau dikenali sebagai Jho Low dalam 1MDB.
Pua berkata sikap acuh tidak acuh perdana menteri mengenai isu itu akan membangkitkan lebih banyak spekulasi dan kesangsian beliau melindungi Low.
Katanya, kegagalan untuk bersikap telus dan bersih, Najib juga boleh dikatakan terbabit dalam jenayah berbilion ringgit yang sama, seperti mana rakyat Malaysia kini mengesyaki Low pakar dalam melaksanakan perbuatan itu.
Khamis lalu, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju Datuk Dr Tan Kee Kwong di Parlimen, Najib memberikan jawapan yang pendek dan ringkas iaitu Jho Low tidak pernah bekerja di 1MDB dan transaksi itu dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah syarikat itu.
Pua berkata dalam temu bual Jho Low dengan media South China Morning Post pada hari sama, dia dilaporkan berkata:”Keputusan perniagaan oleh 1MDB diputuskan dan diluluskan mengikut rangka kerja pentadbiran korporat, iaitu pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham. Jadi kenapa mempolitikkan perkara ini dan cuba meletakkan kesalahan kepada saya kerana saya tidak ada kuasa membuat keputusan.”
Dalam satu lagi temu bual dengan CNBC pada hari sama, Jho Low berkata:”Saya tidak diambil bekerja oleh 1MDB dan saya tidak dibayar sebarang bayaran. Keputusan perniagaan diputuskan oleh pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham.”
Pua berkata jika itu hanya kebetulan semata-mata apabila respons Najib secara praktikalnya serupa dengan jawapan Jho Low, pada hari yang sama.
Katanya, besar kemungkinan kebetulan itu lebih tinggi jika kedua-duanya menjawab soalan itu dengan cara lebih spesifik, bukan mengelak untuk menjawabnya.
“Dr Tan Kee Kwong tidak tanya jika 1MDB membayar Low gaji atau bayaran, dia tanya sama ada wujud transaksi perniagaan atau urusan antara 1MDB dengan Jho Low.
“Sama juga, walaupun berulang kali diminta menjelaskan pembabitan dan hubungannya dengan 1MDB, Jho Low terus mengelak isu itu dengan mendakwa ‘ramai pihak yang meminta pandangannya’,” kata Pua dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, hingga kini Najib dan Jho Low tidak menjelaskan fakta yang didedahkan Sarawak Report berhubung perbualan e-mel antara eksekutif PetroSaudi International, pengurusan 1MDB dan juga Jho Low serta syarikatnya, jelas menunjukkan pembabitan Jho Low secara langsung dalam pelaksanaan usaha sama itu.
“Malah Jho Low ditawarkan peluang secara langsung untuk menjelaskan e-mel tertentu itu sebagai palsu, tetapi dia tidak berbuat demikian.
“Kedua-duanya mengelak fakta 1MDB membenarkan sejumlah AS$700 juta dipindahkan ke Good Star Limited, syarikat dikawal Jho Low dan syarikat bersekutunya yang sudah tentu boleh dianggap sebagai ‘berurusan dengan 1MDB’,” katanya.
Sehubungan itu, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mendesak Najib memberitahu keseluruhan cerita sebenar pembabitan Jho Low dan kemungkinan berbilion ringgit daripada tabung 1MDB digelapkan.
sumber
No comments: