» » '1MDB bakal bubar di bawah pelan selesai hutang'


Dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang dan penuh kontroversi akan hanya tinggal rangka dan mungkin dibubarkan di bawah pelan pembayaran balik hutang, di mana sebahagian besar asetnya akan dijual, menurut sumber.

Syarikat yang terlibat dengan perniagaan tenaga dan hartanah itu, hasil ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan aset bernilai AS$14 bilion, mengalami kerugian tahun lepas dan hampir gagal membayar balik pinjamannya.

Keadaan itu membuatkan nilai mata wang ringgit dan bon kerajaan Malaysia jatuh, mendorong pemimpin pembangkang menggesa akaun syarikat itu dibuat lebih telus.

Hutang syarikat milik negara berjumlah RM42 bilion itu termasuk penjualan bon AS$3 bilion pada 2013, yang merupakan satu daripada yang terbesar di dunia, dari Asia Tenggara.

Di bawah rancangan penyusunan semula yang agresif oleh ketua baharunya, Arul Kanda Kandasamy dan direstui kerajaan, dana itu akan menjual 80% daripada unit tenaganya Edra Energy melalui penyenaraian pasaran saham, kata tiga sumber kepada Reuters.

Lebih RM18 bilion hutang 1MDB yang dikaitkan dengan aset tenaganya akan disalurkan ke Edra Tenaga sebelum penyenaraian itu, yang dijadualkan bermula dalam masa 6-9 bulan, kata sumber itu.

1MDB, di mana Najib merupakan pengerusi lembaga penasihatnya, juga akan menjual sebahagian besar aset tanah dan kepentingannya dalam dua projek hartanah berprofil tinggi, iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia, selepas memecahkannya kepada beberapa entiti berasingan, seperti yang ditunjukkan sebahagiannya dalam kajian strategik diumum bulan lepas.

Kementerian Kewangan yang diketuai Najib dan merupakan pemilik tunggal 1MDB, tidak memberi respon apabila diminta mengulas perkara itu.

'Isu sensitif'

1MDB menerusi e-mel berkata Edra Energy akan "ditukarkan kepada wang" pada 2015 dan projek TRX dan Bandar Malaysia akhirnya akan dimiliki Kementerian Kewangan.

Proses ini akan menukar 1MDB menjadi struktur rangka yang akhirnya boleh dibubarkan sepenuhnya, menurut seorang yang tidak mahu namanya disiarkan kerana sensitiviti yang terlibat dalam isu itu.

"Ia sekarang menjadi isu sensitif bagi kerajaan Malaysia. Terlalu sukar untuk dikendalikan," kata sumber lain.

1MDB berkata semalam, rancangannya menyenaraikan Edra Energy berjalan lancar.

Katanya, syarikat itu akan mengemukakan semula permohonan bagi tawaran awam awal (IPO) selepas membatalkan penyerahan yang dibuat pada November. Ia tidak menjelaskan lebih lanjut.

Arul, yang dilantik pada Januari bagi merombak dana itu, menjalankan kajian strategik ke atas kewangan 1MDB dan mengumumkan bulan lepas, ia akan menukarkan Edra Energy kepada wang tahun ini, menjalankan projek hartanah sebagai entiti yang berdiri sendiri dan menjual aset bagi membayar balik pemberi pinjaman.

Beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat kewangan secara terperinci.

Sebagai bekas pengurus perbankan pelaburan yang disegani, yang sebelum ini bekerja di Abu Dhabi Commercial Bank, Arul dibawa masuk bagi melihat sekiranya dana itu masih boleh diselamatkan.

Bagaimanapun, beliau memutuskan cara terbaik ialah dengan menutup perniagaan itu selepas menjalankan kajian menyeluruh selama 6 minggu.

'Dikenali tetapi tidak dikenali'

1MDB, yang dilihat penganalisis sebagai gabungan antara dana kekayaan negara dan dana strategik yang disokong negara, ditubuhkan pada tahun 2008 di bawah nama Terengganu Investment Authority dengan modal RM10 bilion bagi menguruskan bayaran royalti minyak kepada Terengganu.

Tetapi, apabila Najib mengambil alih kuasa pada 2009, beliau menamakannya 1MDB dan menjadikannya dana pelaburan penuh.

1MDB berkembang dengan membeli aset tenaga yang mahal daripada jutawan Malaysia Tan Sri Ananda Krishnan dan konglomerat Genting Bhd, dan plot tanah yang besar di ibu negara dan kawasan lain di Malaysia, mengumpul hutang sepanjang proses itu dan akhirnya jatuh rugi tahun lepas.

Ananda juga meminjamkan RM2 bilion kepada 1MDB bulan lalu, menyelamatkan dana daripada gagal membuat pembayaran pinjaman bank, kata sumber. Pegawai di syarikat pelaburan Ananda, Usaha Tegas, tidak dapat dihubungi untuk komen.

Pemimpin politik, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menuntut siasatan dibuat ke atas kewangan 1MDB dan juga menggesa kerajaan menjelaskan urus niaga yang mereka dakwa menyebabkan dana awam disalurkan keluar.

Semalam, Najib berkata beliau mengarahkan Ketua Audit Negara menjalankan audit bebas ke atas akaun 1MDB susulan dakwaan tersebut.

Tetapi, soalan yang masih menjadi tanda tanya ialah sama ada pelabur akan tertarik dengan IPO dan rancangan penjualan dana itu.

"Mengenai 1MDB, ia sebenarnya berkisar tentang kurangnya ketelusan yang menyimpulkan ia sebagai sesuatu yang dikenali tetapi tidak dikenali," kata Weiwen Ng, seorang penganalisis ANZ yang berpangkalan di Singapura.

"Dengan adanya lebih ketelusan dan akauntabiliti dalam isu 1MDB ini, pasti ia akan membantu penjualan aset pada masa akan datang dan sebarang kemungkinan penyusunan semula."



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .