Ini adalah antara 35 asas petisyen rayuan ketua pembangkang itu dalam rayuannya terhadap hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan petang ini oleh peguamnya Zaleha Al Hayat.
Anwar mendakwa, sikap prejudis Mahkamah Rayuan itu menafikan beliau daripada mendapat perbicaraan yang adil, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi Anwar, kenyataan ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan itu sebagai asas kepada rayuannya untuk mengenepikan penghakiman dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Permulaan kepada 85 muka surat penghakiman Mahkamah Rayuan terhadap Anwar itu berkata, melengah-lengahkan perbicaraan adalah taktik pembelaan.
Adalah tidak wajar bagi peguam menggunakan pendekatan untuk melengahkan perbicaraan hanya kerana kepentingan anak guamnya.
Mendiang Karpal Singh yang mengetuai pasukan peguam Anwar tiga kali memfailkan permohonan mengenepikan peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik secara ad-hoc menjadi timbalan pendakwaraya bagi mengetuai pasukan Putrajaya untuk mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi 2012 lalu.
Ketika itu, Anwar yang merupakan ketua umum PKR dibebaskan daripada dakwaan mengadakan hubungan liwat dengan bekas pembantunya selepas dipanggil membela diri.
Beliau juga membuat permohonan memasukkan bukti baru dengan memanggil semula pegawai penyiasat Jude Blacious Pereira.
Semua permohonan yang difailkan antara Julai tahun lalu dan Mac tahun ini gagal.
Anwar yang menyiapkan 35 asas petisyen ini berkata, pihak pembela tidak melengahkan rayuan tetapi hanya melaksanakan hak undang-undangnya dalam memfailkan permohonan itu.
Anwar berkata, Mahkamah Rayuan gagal mempertikaikan kredibiliti bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan memanggilnya untuk membela diri di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan juga gagal mempertimbangkan penyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang tidak mempunyai cukup bukti untuk menunjukkan adanya kemasukan ke dalam dubur Saiful bagi membuktikan berlakunya liwat.
Dia juga berkata, pasukan hakim juga gagal memandu diri mereka apabila mengekalkan bukti daripada saksi pendakwa, pegawai kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon.
"Pasukan hakim juga salah apabila menerima bukti daripada pegawai kimia yang bukan sahaja menganalisa sampel tercemar tetapi juga tidak sekata dalam rantaian bukti," katanya.
Katanya, mahkamah juga salah apabila membuat kesimpulan bahawa tidak ada kejatuhan nilai dalam sampel walaupun ia diserahkan kepada Dr Seah selepas 96 jam kejadian liwat itu didakwa berlaku.
Mahkamah juga silap apabila menolak testimoni saksi pembela dengan menyifatkan pakar DNA Dr Brian McDonald dan pathologi forensik Dr David Well sebagai "pakar kerusi malas" sedangkan mereka sangat berkelayakan dan hebat.
Petisyen itu seterusnya menyatakan bahawa ahli kimia adalah salah untuk membuat kesimpulan bahawa DNA "Lelaki Y" yang ditemui dalam dubur Saiful adalah kepunyaan Anwar kerana terdapat keraguan yang serius dalam testimoni daripada saksi pendakwaan.
Anwar berkata Mahkamah Rayuan juga salah menerima keterangan daripada Pereira yang kebolehpercayaannya adalah sangat dipersoalkan berikutan siasatan hak asasi manusia pada tahun 2009.
Katanya Mahkamah Rayuan turut salah membuat penyataan negatif terhadap pilihannya untuk memberikan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh semasa pembelaan dipanggil.
Anwar berkata, beliau hanya menggunakan hak sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan negatif apabila beliau mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan pembelaannya secara alibi apabila dia memberi notis kepada pihak pendakwaan bahawa dia tidak berada di tempat kejadian jenayah.
Pada 7 Mac, barisan hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar, selepas membenarkan rayuan Putrajaya. Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh adalah hakim lain dalam barisan itu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu keputusan rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan dengan syarat membayar ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Anwar, 66, didakwa meliwat Saiful di sebuah kondominium mewah di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.
Hukuman di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan pesalah itu boleh dikenakan sebatan.
Putrajaya mengemukakan rayuan balas untuk meningkatkan hukuman penjara itu.
No comments: