Akhbar harian Hong Kong itu melaporkan Beijing sedang melihat cadangan untuk membina lebih 50 alat peninjau yang mengelilingi bumi supaya ia boleh memantau keseluruhan planet.
Penyelidik China berkata, jika China mahu meningkatkan jaringan satelit pemerhati dan pengawasan, ia perlu sempurna, atau lebih besar daripada Amerika Syarikat.
Beijing memberi perhatian terhadap projek itu, susulan rasa kecewa daripada kegagalan mengesan MH370 walaupun selepas operasi mencari berlangsung selama 21 hari.
Profesor Chi Tianhe memberitahu SCMP, jika China mempunyai jaringan pemantau global hari ini, kita tidak akan berdepan kesukaran mencari pesawat itu.
“Kita mempunyai peluang lebih besar untuk mencari MH370 dan mengesannya hingga ke kedudukan terakhir,” kata Chi, penyelidik di Akademi Sains China di Institut Remote Sensing dan Pendigitalan Bumi.
“Pelan sedang dideraf untuk mengembangkan keupayaan memantau negara kita untuk liputan global,” katanya kepada SCMP.
Jumlah satelit pemerhati dan pemantau China pada masa ini adalah rahsia, tetapi Chi menganggarkan Amerika Syarikat beroperasi dengan kira-kira 50 satelit seumpama itu.
Kos satelit ialah kira-kira 400 juta yuan (RM210 juta) untuk dibina, menurut anggaran daripada pakar dalam industri angkasa China.
Ini bermakna bajet keseluruhan untuk projek itu akan menelan belanja kira-kira 20 bilion yuan (RM10.5 bilion).
Profesor Liu Yu memberitahu SCMP projek itu amat bercita-cita besar dan akan menjadi pengubah kepada China jika Beijing meluluskannya.
“Keupayaan China untuk menjalankan pemerhatian dari angkasa akan berubah secara luar biasa,” kata Liu, pakar remote sensing dari fakulti sains bumi dan angkasa Universiti Peking.
“Perkhidmatan pemantauan bumi antarabangsa didominasi oleh Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi jika China melancarkan lebih 50 satelit bagi tujuan itu, keseluruhan lanskap akan berubah.
“Lebih banyak satelit China berada di angkasa, lebih mudah kerja kita.
“Dengan menganalisis data daripada pelbagai satelit yang diletak di lokasi berbeza dan dilengkapi pengesan berlainan, kita boleh lebih memahami perkara tertentu,” kata Liu kepada SCMP.
Bagaimanapun, pelan besar seperti itu akan menjadi cakap-cakap di kalangan banyak negara Asia, yang ada di antaranya masih mempunyai pertikaian wilayah dengan China.
Al Jazeera melaporkan walaupun pertikaian di Laut China Selatan menjadi ciri kekal dalam hubungan serantau untuk beberapa dekad, keadaan menjadi semakin kurang menyenangkan pada tahun-tahun terakhir ini.
Sejak 2009, China meningkatkan rondaan kumpulan separa tentera di kawasan itu, dengan beberapa laporan mengenai kapal pengawasan China “mengganggu” antara lain, kapal dan nelayan Filipina dan Vietnam.
Pada pertengahan 2012, Filipina dan China menghampiri konflik ketenteraan berhubung Scarborough Shoal di Laut China Selatan, lapor Al Jazeera.
Dilengkapi perkakasan ketenteraan yang hebat, dan disokong tekanan diplomatik intensif, China akhirnya dapat mengakali Filipina secara berkesan dan berjaya mengawal kawasan tambak yang menjadi pertikaian dua negara itu.
Menjelang pertengahan 2013, dengan kapal kumpulan separa tentera China dituduh mensasarkan untuk menakluki kubu ketenteraan Filipina di Second Thomas Shoal di Laut China Selatan.
Second Thomas Shoal terletak hampir dengan kawasan yang kaya dengan hidrokarbon di perairan Filipina di wilayah Palawan.
Keseimbangan tenaga di daratan yang berkembang pesat memberi kelebihan kepada China. Dengan kemampanan ekonominya, China memacu perbelanjaan ketenteraannya dengan fokus terbesar diberikan kepada keupayaan tentera laut.
Ramai penganalisis mendakwa, sasaran utamanya ialah untuk menjadikan China sebagai kuasa tentera laut paling menonjol di Asia – yang akhirnya mampu mencabar hagemoni tentera laut Amerika Syarikat di pentas Pasifik.
Susulan tindakan China itu, Asia Tenggara kini mempercepat usahanya memperkenalkan kod perilaku (CoC) yang sah di sisi undang-undang di Laut China Selatan.
Diharapkan CoC itu akan menasihatkan China daripada mengukuhkan kubu kumpulan separa tentera dan peronda pengawasan di kawasan yang dipertikaikan.
Terdapat juga usaha selari oleh Filipina, Vietnam dan Singapura untuk meningkatkan kehadiran tentera Amerika Syarikat di Asia Tenggara untuk mengekang pencerobohan kawasan oleh China.
Bagaimanapun, Al Jazeera melaporkan banyak ahli Asean keberatan untuk mengkritik China secara terbuka mengenai pertikaian di Laut China Selatan.
Sebagai rakan dagang terbesar Asean, dan ekonomi terbesar Asia, China dengan bijak menggunakan kelebihan keberanian dalam ekonominya dalam pertalian dengan banya negara Asia Tenggara.
Sumber T-M-I




No comments: